Sunday 18 May 2008

Aku masih lagi guru itu ..

16 Mei mendatang lagi bersama SMS berangkai daripada kengkawang seluruh Tanah Melayu. Sama ada mengambil hati atau mengurangkan kredit prepaidku aku forward balik SMS tersebut secara silang. Maafkan aku, bukan niatku .. malas nak taip atau mencari bait kata untuk kalian tapi aku rasa muak dengan semua ini. Antara kita sedia maklum dan faham akan hari ini .. HARI GURU. Tetapi berapa ramai yang sekitar kita (bukan guru) faham tentang hari ini? Aku sendiri pun dah rasa tak mulia kerjaya ini, sebab itu ada kawan ku yang mengambil langkah di depanku dengan berhenti dari kelangsungan kerjaya ini. Syabas kawan, engkau berani meniti kehidupan. Setiap 16 Mei beberapa perutusan dari langit dibaca untuk didengar oleh para pendidik Tanah Melayu. Setiap tahun juga kami dijanji dan dimomok dengan berbagai kemanisan yang terkhusus untuk kami. Namun kami tetap juga memikul tanggungjawab mulia ini walaupun kekadang ada juga rasa ingin mogok. Kami bukannya berniat untuk mengamuk tetapi sudah letih dengan tugasan yang bukan tugas. Kalian di luar jangan ingat kerja guru sekadar mengajar dan mendidik seperti pensyarah yang tidak puas hati itu. Sebut sahaja kerja kerani, tukang cuci, tukang kebun, pengawal keselamatan, posmen dan segala-galanya dengan kata lain ‘kuli batak’. Sekiranya nak disenaraikan di sini, aku terpaksa buat satu atau sepuluh lagi blog untuknya. Itu pun pensyarah kat IPT cemburu tak ada pembela nasib kononnya. Aku berani hilang gaji setahun pensyarah ini tak berani bertukar tempat antara IPT dengan sekolah untuk tempoh 3 bulan. Kali ini Menteri Perdana mengumumkan ada 6 macam kemanisan untuk kami telan. Aku dah tahu manisan ini kelat rasanya. Struktur baru yang holistik bagi seluruh kementerian termasuk jabatan, bahagian,dan seterusnya ke PPD untuk siapa? Nampak macam untuk guru (DG) tapi bukan guru (DG), dengar macam bukan PTD(M) tapi memang (M). Dimomokkan juga dengan JUSA A untuk kami, tapi berapa orang? Adakah DG yang dapat? Sedangkan Bapak Menteri kami sendiri maklum dalam perutusan beliau kuota kami 5% cuma. Kalau berani keluarkan laporan perbandingan; berapa ramai DG41 dapat DG44 selepas 8 tahun berkhidmat dan dalam tempoh yang sama berapa ramai M41 tak dapat M44? Kenapa, jangan bilangan dijadikan alasan .. satu jawapan yang pasti ialah kerana kami bodoh (maafkan aku sahabat .. termasuk aku). Kami disuruh berpersatuan, maka wujudlah berpuluh-puluh persatuan guru. Masing-masing dengan kebodohan hendak menunjukkan gahnya, sehingga terlupa perkara pokok. Masing-masing berkokok dengan garau dan seraknya tapi kokok betina sahaja .. takut. Itu sebab aku katakan tadi, bilangan jangan dijadikan alasan. Sepatutnya dalam persamaan ini perlu dilihat perbezaannya baru menghampiri matlamat perjuangan. Tak apalah aku di sini pun macam anjing menyalak bukit juga. Kita tunggu perubahan baru nanti, ini pun janji juga dari bakal pemerintah Tanah Melayu. Kalau masih sama, kami akan mogok (MC) 2 hari serentak seluruh jajahan takluk Tanah Melayu, sama-sama kita lihat siapa yang mogok (tidak hadir kerja) sebenarnya, adakah kami para guru atau kalian di luar sana?

1 comment:

Anonymous said...

power la luahan perasaan demo...

Selamat Hari Guru
drp sahabat...
zulskk@yahoo.com